PUTRAJAYA : Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memangku jawatan Menteri Pendidikan memasuki pejabat kementerian itu buat kali pertama hari ini.

Ketibaan Dr Mahathir kira-kira 2.40 petang di kementerian itu disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas serta pengurusan tertinggi kementerian.

Selepas bersalaman dan bergambar di lobi kementerian, Dr Mahathir kemudian diiring ke tingkat 18 bangunan yang menempatkan pejabat Menteri Pendidikan.

Di situ, Dr Mahathir diberikan penerangan ringkas oleh Mohd Gazali yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Selepas itu, Dr Mahathir dibawa ke tingkat 17 bagi menghadiri taklimat bersama pihak pengurusan tertinggi kementerian.

Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 8 Jan lepas memutuskan Dr Mahathir memangku sementara jawatan Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Jan susulan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sehari sebelum itu.

Isnin lepas Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau akan memasuki pejabat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat di mana antara keutamaan adalah untuk meneliti masalah yang berlaku dalam kementerian itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Perdana Menteri juga dilaporkan sedia untuk mempertimbangkan cadangan memecahkan Kementerian Pendidikan dan mewujudkan semula Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dr Mahathir pernah menyandang jawatan Menteri Pendidikan pada 1974 sehingga 1978 sewaktu pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri.

— BERNAMA