KUALA LUMPUR : Krisis kepimpinan dan politik negara hari ini memuncak dengan pengumuman peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan surat peletakan jawatan tersebut telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 1 petang tadi.

Sebelum itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan parti tersebut keluar daripada Pakatan Harapan.

Pagi tadi, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan Mohammad Sabu mengadakan pertemuan kira-kira dua jam bersama Perdana Menteri di kediamannya.

Dalam pada itu, PKR yang mengadakan mesyuarat tergempar sebentar tadi mengumumkan pemecatan jawatan Timbalan Presidennya Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin atas alasan melakukan pengkhianatan terbuka

Sejak malam kelmarin, puluhan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya bertebaran di media sosial yang memberi gambaran sesuatu yang besar akan berlaku.

Manakala awal pagi semalam bahang mula terasa apabila lima buah parti lima parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, UMNO, Pas dan GPS masing-masing mengadakan mesyuarat peringkat pemimpin tertinggi dan seterusnya puluhan buah kenderaan kenamaan memasuki Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, sehingga malam tadi, tiada satu kenyataan rasmi dikeluarkan memaklumkan apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada pemerintahan di negara ini.

Malah, ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti sama ada kerajaan mahu pun pembangkang yang menghadiri satu majlis makan malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya malam tadi tetap ketat menutup mulut masing-masing.