KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bersetuju untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bagaimanapun, peletakan jawatannya itu tidak akan berkuatkuasa serta-merta kerana beberapa isu berkaitan perlu diselesaikan termasuk mencari pengganti yang bakal memegang jawatan terbabit.

Seorang pegawai khasnya, berkata tidak wujud elemen ‘keterpaksaan’ seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya beliau (Dr Maszlee) membuat keputusan itu dengan rela hati.

“Takkanlah Kabinet akan buat keputusan mendadak tanpa mengambil kira kemaslahatan universiti.

“Ada perbincangan yang berlangsung dan persetujuan berjaya dicapai melaluinya.

“Bagaimanapun, proses peletakan jawatan berkenaan masih berjalan kerana beliau memerlukan persetujuan daripada Perdana Menteri dan Sultan Pahang,” katanya ketika dihubungi NSTP, sebentar tadi.

Sementara itu, Dr Maszlee dijangka menjalankan tugas seperti biasa dan akan menghadiri Majlis Konvokesyen UIAM ke-34 esok di kampus Gombak.

September lalu, Dr Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh selama tiga tahun selepas diberi perkenan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Namun, pelantikan berkenaan mencetuskan kontroversi apabila mendapat bantahan dan kritikan ramai yang mempersoalkan kelayakan beliau yang kini memegang portfolio sebagai menteri Kabinet – berita harian