KUALA LUMPUR: Ketua Bahagian Pembedahan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine, Perak, Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy dilantik sebagai Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang baharu.

Beliau memegang jawatan itu bermula Julai lalu hingga Jun 2021 bagi menggantikan Dr Gnanabaskaran Nadesan.

Beliau yang aktif dengan MMA sejak 1978 sudah berkhidmat selama 22 tahun dengan Kementerian Kesihatan sebelum persaraannya.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden MMA, Dr Subramaniam berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan Kementerian Kesihatan dalam meneliti masalah semasa yang dihadapi bidang perubatan bagi mendapatkan penyelesaiannya.

“Kita juga akan meningkatkan kerjasama dengan Bahagian Pengamal Perubatan Swasta (PPS) dan Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) serta jawatan kuasa baharu yang dilantik.

“Menerusinya, MMA akan terus bekerjasama rapat dengan kerajan dan isu berkenaan penjagaan kesihatan. Kita sedia mengadakan perbincangan lebih kerap dengan Kementerian Kesihatan dan terus menjalinkan hubungan baik yang sudah lama terjalin selama ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Presiden MMA baharu, semalam.

Dr Subramaniam berkata, beliau juga komited menyelesaikan isu penempatan doktor muda dan sebagai Presiden baharu dilantik, beliau memberi jaminan akan memperhalusi perkara itu lebih dekat.

“Saya akan berbincang dengan kerajaan berikutan masalah ini dihadapi kira-kira 7,000 pengamal perubatan yang mana MMA mempunyai seramai 12,553 ahli di seluruh negara,” katanya.