PUTRAJAYA : Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Bangunan Perdana Putra pada jam 10.25 pagi.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu hadir ke bangunan berkenaan dengan menaiki Toyota Vellfire berwarna putih.

Kenderaan dinaikinya berhenti bagi membolehkan Ahli Parlimen Pandan itu melambai ke arah wartawan yang berkumpul di sini.

Difahamkan, turut bersama dengan Dr Wan Azizah ialah anaknya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Media juga turut difahamkan kehadiran Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah di bangunan berkenaan kerana mahu mengemas barang di pejabat.

Terdahulu, Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di bangunan yang sama pada jam 9.29 pagi tadi selepas beberapa jam dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.