LEKIR: Di dalam kesibukan tugas seharian, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tetap prihatin terhadap mangsa musibah yang berlaku.

Terbaharu, beliau berhenti membantu dua beradik menaiki motosikal yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan Batu 6, di sini kira-kira jam 2.30 petang.

Menurut Facebook Fateh Albishry yang memuatnaik status itu, ketika kejadian Dr Zambry dalam perjalanan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Batu 14 untuk menghadiri satu mesyuarat di Manjung.

Seorang mangsa mengalami kecederaan serius di kaki kiri manakala seorang lagi cedera ringan di tangan kanan.

Seorang pegawai Pejabat Menteri Besar yang tidak mahu dikenali memberitahu, Dr Zambry telah meminta bantuan perubatan disegerakan.

Difahamkan, kawasan tersebut sering berlaku kemalangan dan peruntukan memasang lampu isyarat telahpun diluluskan yang akan dibina secepat mungkin.