IPOH: Serangan pembangkang terhadap Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir adalah disebabkan Menteri Besar Perak itu merupakan batu penghalang mereka untuk menawan negeri ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, sebenarnya pembangkang sudah ketandusan isu untuk mengkritik Dr Zambry.

Beliau berpendapat, pembangkang tahu bahawa selagi Dr Zambry memimpin kerajaan negeri, mereka tidak ada isu untuk dibangkitkan.

“Malah ulasan-ulasan dalam portal berita yang condong kepada mereka mengakui Dr Zambry adalah batu penghalang untuk mereka menawan Perak,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Saarani yang juga Ketua Whip Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Perak berkata demikian sebagai mengulas kenyataan ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham yang membangkitkan isu pembayaran bonus dan pemberian kereta mewah kepada Zambry oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) semalam.

 

Saarani berkata, segala tuduhan yang dilemparkan dalam sidang media itu sudah dijawab, baik pada sidang Dewan Undangan Negeri, mahupun diluar, besert bukti-bukti kukuh.

 

“Adalah sesuatu yang dangkal untuk mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan atas tuduhan-tuduhan tidak berasas,” ujarnya.

 

Menurut beliau, jika isu bonus dan kereta yang dibeli Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menjadi kayu ukur kepada Ngeh dan pemimpin pembangkang untuk membuat tuduhan terhadap Dr Zambry, maka timbul persoalan sama ada mereka juga akan mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali meletak jawatan kerana menerima bonus jauh lebih tinggi selaku pengerusi pelbagai agensi dan anak-anak syarikat kerajaan di Selangor.

 

Di samping itu, kata beliau, jika Ngeh dan pimpinan DAP begitu serius melawan skandal, maka mereka perlu mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng Eng meletak jawatan kerana bergelut dengan dakwaan skandal ratusan juta ringit, termasuk skandal banglo mewah dan Projek Terowong Dasar Laut.

 

“Ini membuktikan sikap hipokrit tahap tinggi yang dimiliki pemimpin DAP di Perak dengan mencipta ‘skandal’ dan fitnah untuk memburuk-burukkan orang lain, tetapi menutup mata dan mengunci mulut terhadap skandal yang dihadapi pemimpin mereka sendiri,” katanya.