MALIM NAWAR: Walaupun dikritik hebat oleh pembangkang kerana mengutip sampah bersama-sama kakitangan bawahan, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tetap meneruskan aktiviti itu.
Terbaharu, beliau bersama-sama semua barisan Exco kerajaan negeri, termasuk dua Exco wanita, Datuk Rusnah Kassim dan Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, meneruskan kempen Perak Yang Bersih di sekitar Malim Nawar sempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Batang Padang dan Kampar pada Selasa.
Lain-lain Exco yang hadir ialah Datuk Saarani Mohamad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Datuk Mohd Zahir Khalid, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Datuk Samsudin Abu Hassan, Datuk Dr Amin Zakaria, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Lee Chee Leong dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal.
Dr Zambry yang tiba di pekarangan Masjid Al-Mudtaqim di sini kira-kira jam 8 pagi menaiki lori sampah milik Majlis Daerah Kampar bersama-sama barisan Exco untuk mengutip sampah dan membersihkan kawasan di sekitar pekan ini.
Beliau membuat kejutan apabila memandu sendiri lori sampah yang turut dinaiki Nolee.
Selepas itu, Dr Zambry dan Exco melakukan walkabout di pasar awam / pasar pagi Tualang Sekah Papan Tanda Pengguna Bijak & Papan Tanda Perangi Dadah Habis- Habisan.
Sebelum ini, pemimpin pembangkang begitu lantang membidas tindakan Dr Zambry mengutip sampah dengan pelbagai sindiran, antaranya, ‘kami membayar gaji Menteri Besar bukan untuk mengutip sampah’ dan sebagainya.