LUMUT: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melahirkan keinginan beliau untuk melihat rakyat Perak memilik kesedaran sivik yang tinggi, seperti yang berlaku di beberapa buah negara maju.

Beliau memberi contoh, dalam satu video yang dilihatnya baru-baru ini, sekumpulan masyarakat luar negara berjoging sambil membawa plastik sampah dan mengutip sampah di sepanjang laluan mereka.

Beliau menyifatkan tindakan kumpulan itu merupakan satu kesedaran sivik dan sosial yang tinggi.

“Saya memang ingin sangat untuk melihat contoh yang sama yang ada di negeri Perak kita, saya tahu dari segi pencapaiannya memang ada, namun saya fikir kita perlu terus perbaiki kerana akan ada orang yang akan terus membuat sampah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan bas Rapid Manjung di Dataran Maritim Lumut di sini, pada Jumaat.

Dr Zambry terus menyeru kepada rakyat negeri Perak agar dapat menjaga kebersihan dan mengelakkan pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat, termasuk di tepi-tepi jalan.

“Ia memerlukan kesedaran sivik yang tinggi dikalangan masyarakat dan ia perlu datang daripada rakyat sendiri, iaitu tanggungjawab untuk kita laksanakan,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan rakyat di negeri ini supaya terus menjaga kebersihan tandas awam, termasuk di rumah-rumah ibadat yang disifatkan masih belum memuaskan