IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry  Abd Kadir melawat kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid yang lebih dikenali dengan Datuk Lat di Hospital Pantai Puteri di sini pada pagi Jumaat.

Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk bertanyakan khabar kartunis kelahiran Perak itu.

Lat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai pagi tadi dipercayai kerana masalah jantung.

Adik beliau, pengarah filem Mamat Khalid yang mengesahkan perkara itu berkata, keadaan abangnya kini stabil.

Lat 65, dimasukkan ke hospital minggu lepas kerana masalah jantung namun dibenarkan keluar Selasa lalu, sebelum dimasukkan semula ke ICU pagi tadi.