KUALA KANGSAR: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta jemaah haji dari negeri Perak menjaga kesihatan dan tingkah laku sepanjang musim haji di Mekah kelak.

Beliau juga meminta mereka menjaga nama baik negeri dan negara pada sepanjang masa memandangkan jemaah Malaysia terkenal dengan kebaikan para jemaahnya.
“Saya mahu kita semua jaga disiplin, jaga nama baik negara kerana Malaysia terkenal dengan jemaahnya yang amat baik.

“Jadi kita teruskan tradisi itu dan saya mendoakan semua jemaah akan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah,” ujarnya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Musim 1438H/2017 peringkat negeri Perak di sini pada Sabtu.

Kursus itu melibatkan lebih 2,800 peserta dari seluruh Perak dengan dibimbing oleh 120 Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) Negeri Perak dan Pembimbing Ibadat Haji (PIHTAS).

Program yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji itu bermula pada Sabtu dan berakhir pada Ahad.

Dalam masa yang sama, Dr Zambry turut meminta para jemaah negeri Perak agar mendoakan kesejahteraan dan kemajuan Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata, mudah-mudahan semua doa tersebut diterima Allah serta memberkati segala usaha dan pengorbanan Tabung Haji untuk umat Islam negara ini.

Katanya, kakitangan Tabung Haji melaksanakan kerja dengan penuh dedikasi dan meneruskan usaha mereka walaupun ada yang mengatakan institusi itu bankrap.

“Kita mendengar pelbagai cerita (mengenai Tabung Haji) sehinggakan ada orang yang percaya.

“Kita mendoakan perkara yang baik-baik untuk kakitangan dan pengurusannya yang tetap menjalankan tugas walaupun dituduh macam-macam.

“Kita tidak sedar sebenarnya Tabung Haji merupakan badan pengurusan haji yang terbaik di dunia sehinggakan negara luar membincangkan keberkesanannya,” kata beliau.