BEHRANG: Kakitangan awam di Perak diharap tidak patah semangat dan membuang masa dengan terlalu melayan kritikan bertali arus oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sikap pembangkang yang sering memburuk-burukkan usaha kerajaan negeri dan kakitangannya adalah bersifat politik semata-mata serta tidak berasas.

“Mereka itu pembangkang…jadi sudah tentu kerja mereka membangkang apa sahaja yang kerajaan negeri lakukan demi menghasut rakyat walaupun banyak kejayaan yang telah kita capai.

“Saya faham tuan-puan (kakitangan awam) bekerja siang dan malam, tetapi akhirnya tuba yang diberikan oleh mereka. Jadi, kita sebagai satu pasukan janganlah buang masa melayan mereka. Marilah kita teruskan bekerja untuk rakyat,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam program Santai Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir Menteri Besar Perak Bersama Penjawat Awam Daerah Muallim di sini pada Selasa.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chua; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan exco kerajaan negeri.

Lebih 500 kakitangan awam dari pelbagai jabatan kerajaan diraikan oleh Dr Zambry dalam program itu yang diadakan sempena Permukiman Menteri Besar Perak di Parlimen Tanjung Malim yang bermula hari ini sehingga Sabtu.