Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan mempertahankan kerusi DUN Pangkor di samping dicalonkan bertanding bagi kerusi Parlimen Lumut dalam Pilihan Raya-14 ini.

Dr Zambry bakal mempertahankan kerusi DUN Pangkor bagi penggal yang keempat manakala pencalonan bagi Parlimen Lumut adalah bagi merampas kerusi itu daripada PKR yang menenangi kerusi tersebut pada PRU-13.

Pencalonannya itu dibuat semasa majlis Pengumuman Calon BN Perak yang dibuat di Kediaman Rasmi Menteri Besar pagi tadi yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Barisan Pusat, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut dicalonkan mempertahankan kerusi adalah, Ahmad Zahid bagi Parlimen Bagan Datuk dan Datuk Seri Mohd Nazri Aziz bagi Parlimen Padang Rengas.

Pengerusi Gerakan, Datuk Mah Siew Keong akan mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan manakala Datuk Hamzah Zainuddin bagi Parlimen Larut, Datuk Tajuddin Abd Rahman (Parlimen Pasir Salak)

Senarai pencalonan BN Perak secara amnya mengetengahkan sebanyak 53.4 peratus calon muka baharu.

Antaranya adalah Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Parit Buntar manakala Pengerusi MCA Perak merangkap Exco Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon akan bertanding kerusi Tanjung Malim.

Selain itu, di peringkat DUN pula, antara muka baru adalah Ketua UMNO Bahagian Larut Datuk Faizul Arby Mohd Shohor yang dicalonkan bagi kerusi DUN Selama, Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Shah Mohamed bagi DUN Bota, Zaini Cha bagi Gunung Semanggol, Mohamad Nor Dawoo bagi DUN Selinsing, Mohd Kamadurrin Abd Bakar bagi Kuala Sepetang, Saliza Ahmad DUN Kubu Gajah dan Norsalewati Mat Norwani bagi DUN Titi Serong.

Antara 31 kerusi DUN BN, lapan kawasan menyaksikan pencalonan baru termasuk satu pencalonan semula, iaitu Dr Wan Norashikin Wan Noordin bagi kerusi DUN Kampung Gajah.

“Kesemua calon yang dikemukakan oleh BN Perak telah melalui proses saringan dan paling penting, diterima baik oleh kesemua peringkat parti bermula daripada akar umbi dan diperakukan oleh pucuk pimpinan,”katanya.

Dr Zambry juga dalam pada itu mengingatkan kesemua nama yang dimuktamadkan itu perlu sentiasa mendukung hasrat parti untuk bertanding dengan sebaiknya dengan mengingati peristiwa pada 2008.

“Ingatlah, peristiwa 2008, ingatlah 11 bulan diperintah orang, jangan biarkan BN berpecah disebabkan masalah dalaman”- katanya lagi.

Selain itu, sebanyak 35.2 peratus calon muda ditampilkan bagi kerusi DUN dan 16.6 peratus bagi kerusi Parlimen.

“Bagi mengiktiraf peranan kaum wanita, BN Perak turut menampilkan 13 orang calon wanita, dan dua daripada merupakan Ketua Puteri UMNO.

“Sepuluh daripada calon wanita ini dicalonkan daripada kerusi DUN manakala tiga lagi bagi kerusi Parlimen,”ujarnya lagi.

BERITA BERKENAANSetiausaha Kerajaan Negeri Sah Bertanding Parlimen Parit Buntar