IPOH: Kerajaan negeri hari ini merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kesemua anggota polis di atas pengorbanan serta kerjasama yang ditunjukan demi memastikan Perak terus kekal aman serta berjaya.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerjasama erat di antara kerajaan negeri serta polis merupakan antara faktor yang membolehkan Perak mencapai segala yang dirancangkan selama ini.

“Tanpa kerjasama erat, kesefahaman di antara kedua-dua pihak ini sudah tentu idea aman dan jaya tidak dapat kita laksanakan, terima kasih semua bagi pihak kerajaan negeri.

sambutan_hari_polis 3

“Saya amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan pasukan (PDRM Perak) yang amat mantap, kita semua bertindak sebagai satu pasukan, siang atau malam sebarang masalah kita bertindak cepat serta selesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kembara Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan sempena Sambutan Hari Polis ke-211 Tahun 2018 di sini pada Isnin. Turut hadir Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan.

Dalam majlis itu juga, Dr Zambry turut memberi sumbangan sebanyak RM50,000 kepada tabung berkenaan yang dikhususkan untuk membantu golongan pesara PDRM dan ahli keluarga mereka yang memerlukan.

“Tabung ini adalah untuk mengingatkan diri kita tentang perkara-perkara yang perlu kita laksanakan dalam usaha menjaga kebajikan ahli-ahli khususnya anggota telah bersara yang memerlukan bantuan kita.

“Diharapkan semoga sumbangan kecil ini sedikit sebanyak dapat membantu usaha murni PDRM mencapai matlamatnya,” ujar beliau.

Program berkenaan yang berlangsung selama tiga hari sejak semalam akan menjelajah ke Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan membabitkan perjalanan sejauh 1,103 kilometer bagi mengutip dana bagi tabung berkenaan.

Jelajah itu bermula dari Kuala Lumpur ke Tanjung Karang, Selangor menuju ke Hutan Melintang, Ipoh di Perak; Cameron Highland, Kuala Lipis; Pahang dan Seremban, Negeri Sembilan sebelum berpatah balik ke ibu negara.

Lima puluh penunggang motosikal yang terdiri daripada pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga akan mengadakan program bersama komuniti setempat bagi menjelaskan mengenai faedah diperolehi dalam memberikan sumbangan terhadap tabung berkenaan.