Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyelar PKR kerana menggunakan tema pembohongan ‘Hapuskan GST, Kembalikan Subsidi’ dalam meraih undi sepanjang berkempen Pilihan Raya Umum ke-14.

Menurut Menteri Besar Perak itu tema tersebut digunakan dalam papan iklan serta kain rentang calon-calon PKR bertanding itu ternyata satu fitnah kerana kerajaan tidak pernah menghapuskan subsidi seperti didakwa.

Malah, katanya, rakyat masih menikmati subsidi dalam kehidupaan seharian dan ianya akan diteruskan sekiranya BN sekali lagi mendapat mandat membentuk kerajaan selepas PRU.

Bagi membuktikan tema PKR itu fitnah, Dr Zambry menyenaraikan subsidi-subsidi yang diberikan kerajaan yang antaranya adalah dalam perkhidmatan kesihatan yang mana kerajaan berbelanja sehingga RM26.5 bilion, pengajian tinggi sebanyak RM5 bilion, bantuan makanan bulanan bagi pelajar asrama sebanyak RM1 bilion, subsidi minyak dan baja bagi penternak sebanyak RM6.5bilion.

Katanya rakyat juga menikmati subsidi bagi gas memasak, tepung dan minyak berjumlah RM3.9 bilion manakala bagi subsidi beras kerajaan menyediakan subsidi sebanyak RM3 bilion.

“Jadi, buktikan dimanakah kerajaan tidak beri subsidi sehingga ia perlu dikembalikan…mereka fitnah seolah-olah kerajaan langsung tidak peduli dan ambil tahu hal-hal rakyat.

“Apabila tiba pilihan raya mereka (pembangkang) sering mainkan ayat tipu rakyat, kerajaan tipu, kerajaan rasuah, kerajaan zalim…mereka mainkan ayat-ayat ini…mereka racun fikiran rakyat…mereka mainkan jiwa rakyat dan akhirnya rakyat percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pecah tanah Klinik Kesihatan Manjoi di Gugusan Manjoi tengahari tadi.

Dr Zambry yang merupakan calon bagi Parlimen Lumut dan DUN Pangkor, berkata beliau tampil menjawab fitnah dan pembohongan itu kerana merasakan fitnah boleh menimbulkan keadaan bahaya sekiranya tiada tindakan dibuat untuk menangkisnya.

“Saya tidak boleh biarkan rakyat percaya fitnah-fitnah mereka, ya..fitnah mereka satu pembohongan tapi kalua kita tak jawab ia akan makan diri. Dalam Islam pun sudah disebut fitnah lebih bahaya daripada membunuh,” katanya.

 

BERITA BERKENAANNenek 100 Tahun Teruja Mengundi Kali Ke-14

1/7