KUALA SEPETANG: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak menolak kemungkinan PAS akan bekerjasama dengan UMNO.

Katanya, ini kerana, politik merupakan satu yang dinamik dan segalanya tidak mustahil.
Beliau memberi contoh bagaimana terjadinya kerjasama PAS dan DAP sebelum ini, yang juga boleh berlaku kepada UMNO.

“Selain itu, mereka yang suatu ketika dahulu memanggil Tun Dr Mahathir dengan pelbagai panggilan, tetapi akhirnya mereka memeluk cium beliau,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan sempena program Pemukiman Menteri Besar, Daerah Bukit Gantang dan Taiping di Dataran Kota Ngah Ibrahim, Matang Kuala Sepetang, pada Khamis.

Dr Zambry berkata, apa yang paling penting ialah memastikan kejituan Barisan Nasional (BN) yang telah dibina dan telah melayari pelbagai episod politik negara yang penuh dengan onak dan duri.

“Keutamaan kita ialah memastikan kesepaduan, kejituan BN kerana politik akan terus berkembang, contohnya, kalau dulu BN terdiri daripada beberapa parti sahaja tetapi akhirnya mempunyai 14 komponen,” katanya.

Menurut Dr Zambry, kerjasama PAS adalah sesuatu yang tidak mustahil, malah paling penting dalam dunia politik ada kemungkinan untuk keseimbangan politik.

“Tiada yang mustahil tetapi BN tetap memberi fokus kepada kepentingan masa depan rakyat,” ujarnya.