IPOH : Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP di Perak membuat keputusan untuk kembali ke barisan jawatankuasa itu setelah meletakkan jawatan pada September lepas.

ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih popdalam kenyataan bersama hari ini berpendapat keputusan itu diambil kerana mereka ada tanggungjawab untuk memperkukuhkan kedudukan dan imej DAP Perak.

Menurut kenyataan itu, kekalahan dalam PIlihan Raya Kecil Tg Piai baru-baru ini juga adalah suatu ‘wake up call’ bagi mereka.

“Setelah berkali-kali menerima nasihat dan jemputan daripada Yong Choo Kiong selaku EXCO Perak merangkap AJK DAP Perak untuk kembali bersama ke barisan Jawatankuasa DAP Perak, kami dapat merasai keihklasan beliau dan sudi menerima jemputannya.

“Sebagai sebahagian daripada Pakatan Harapan, kami percaya sekiranya kami bersatu, kami mampu memperkukuhkan kestabilan kerajaan PH Perak.

“Di samping memberi sumbangan kepada negara, dengan dasar kerajaan yang baik, serta memberi harapan dan masa hadapan yang terbaik kepada rakyat,” ujar kenyataan itu pada Sabtu.

Sebelum ini, ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng meletakkan jawatan sebagai Timbalan Bendahari manakala ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih meletakkan jawatan sebagai Penolong Setiausaha Organisasi DAP.

Peletakan jawatan mereka dikatakan kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berhubung kedudukan anggota Exco Kerajaan Negeri, Paul Yong Choo Keong yang sedang menghadapi tuduhan merogol pembantu rumahnya.