TAIPING – Dua anggota polis cedera dilanggar sebuah kereta terbabas sewaktu cuba meletakkan kon amaran di lokasi pokok tumbang menghalang jalan raya dalam kejadian di Jalan Kampung Nibong, Padang Gajah di sini malam semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, anggota polis dari Balai Polis Padang Gajah, Koperal Ahmad Fazlee Khamaruzaman,30, cedera di kepala dan kaki, manakala seorang lagi rakannya, Konstabel Muhammad Nur Atiq Kamsani,25, disyaki patah kaki setelah dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang wanita.

Pemandu kereta berkenaan berusia 22 tahun dan bekerja swasta turut mengalami kecederaan dan ketiga-tiga mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, pihak menerima laporan berlaku satu kemalangan di lokasi kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dengan sebuah kereta peronda polis jenis Proton Waja dan dua anggotanya.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua anggota polis berkenaan meletakkan kenderaan mereka di atas jalan dengan lampu beacon menyala, sebelum mereka bertindak turun untuk memasang kon polis kerana terdapat pokok tumbang menghalang jalan raya.

“Kemudian, datang seorang pemandu wanita yang memandu kereta jenis Perodua Axia dari arah Taiping melanggar kedua-dua anggota polis berkenaan.”Kenderaan wanita itu kemudiannya terbabas lalu melanggar kereta peronda polis yang diletakkan kedua-dua anggota malang berkenaan di tepi jalan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Mohamad berkata, dua anggota polis berkenaan bersama pemandu wanita itu didapati mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.

Menurutnya, kesemua mereka dihantar ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan dan salah seorang daripadanya iaitu Konstabel Muhammad Nur Atiq disyaki mengalami patah kaki.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan gelap tidak berlampu serta jalan basah kerana cuaca hujan.

“Susulan kejadian itu, pemandu wanita berkenaan kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – sinar