KOTA BHARU: Dua anggota polis dari Balai Polis Nibong, Tanah Merah nyaris terkena tembakan dipercayai daripada senapang angin yang dilepaskan oleh dua lelaki dari arah sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, semalam.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, anggota berkenaan sedang melakukan rondaan sempadan melalui pangkalan haram Poksu Kamal dekat Kampung Bendang Besar, Tanah Merah dan ternampak seorang lelaki cuba menyeberangi Sungai Golok.

Beliau berkata apabila anggota tersebut menghampiri tebing sungai, lelaki itu terjun bersama tujuh tong disyaki berisi minyak yang diikat bersamanya dan berenang ke arah negara jiran. 

“Setelah lelaki tersebut sampai di tebing sungai sebelah Thailand, tiba-tiba keluar dua lelaki yang masing-masing membawa selaras senapang angin.

“Lelaki itu kemudiannya melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis berkenaan. Laporan mengatakan dua das tembakan mengenai tebing sungai manakala satu das lagi tersasar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shafien berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senapang angin kerana tiada bunyi letupan kedengaran.

Beliau berkata siasatan turut mendapati suspek juga dipercayai penyeludup warga Thailand yang tidak berpuas hati terhadap anggota polis yang kerap melakukan rondaan di tebing sungai di sempadan Malaysia-Thailand. 

Katanya kedua-dua anggota berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

– BERNAMA