BANGKOK– Dua atlet Muaythai negeri Perak yang mewakili Malaysia ke Kejohanan Muaythai Remaja Dunia 2018, di Stadium Nimibutr Bangkok Thailand telah berjaya mengharumkan nama negara setelah memenangi satu pingat emas dan satu perak.
Dalam perlawanan akhir semalam, Ha Ze Xiang, 16 tahun, dari SMK Jalan Tasek, Ipoh berjaya menewaskan atlet dari Indonesia untuk membawa pulang pingat emas.
Bagaimanapun Nur Amisha Azrilrizal, 16 tahun dari SMK Gunung Rapat, Ipoh yang pernah memegang Kejuaraan Remaja Dunia pada edisi 2016 di Bangkok, tewas dalam perlawanan akhir kepada atlet muaythai Rusia.
Ha Ze Xiang dalam kategori 56-58 kilogram manakala Nur Amisha kategori 53-55 kilogram.
Sementara itu Ketua Jurulatih Muaythai Negeri Perak, En. Bernard Radin berkata, Ha Ze Xiang bermula agak gugup di pusingan pertama namun berjaya mendapat rentak setelah memasuki pusingan kedua perlawanan.
“Dari pemerhatian ini, memang perlu kita buat pendedahan banyak kepada atlet kita.Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Perak serta Penaung Persatuan, Dato’ Zainol Fadzi kerana banyak membantu persatuan bergerak mencungkil bakat serta melahirkan ramai juara selama ini.
“Mereka juga merupakan atlet SUKMA Perak 2018 yang akan dianjurkan di Gerik pada September ini, saya harapkan mereka akan menghadiahkan pingat Emas untuk Negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kejohanan Muaythai Remaja Dunia ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh badan dunia sukan Muaythai , International Federation Muaythai Amateur (IFMA) bermula 2 Ogos hingga 8 Ogos 2018 dengan disertai dari pelbagai negara seluruh dunia.