TAIPING: Dua beradik nelayan yang dihanyutkan arus selepas bot mereka kehabisan minyak di Sungai Kerang, Trong dekat sini ditemui selamat malam ini.

Ayed Daud, 31 dan adiknya, Mohd Affendi Daud, 29 ditemui nelayan selepas dihanyutkan lebih 20 batu nautika.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, bot mereka telah ditarik oleh bot nelayan ke jeti Bagan Pancor, Sungai Kerang.

“Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, anggota bomba mengambil mangsa di jeti berkenaan dan menyerahkan mereka kepada pihaknpolis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mazli A. Mutalib tamat jam 8.18 malam.