IPOH: Dua beranak didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas tuduhan membuat laporan dan keterangan polis palsu, mengenai satu kes ragut, bulan lalu.

S. Pavithra yang genap 18 tahun hari ini dituduh membuat laporan dan keterangan polis palsu di Balai Polis Bercham pada 19 Januari lalu, kononnya dia diragut dua lelaki.

Ibunya, S. Mahalakshmy, 41, pula dituduh membuat laporan dan keterangan polis palsu pada hari yang sama, kononnya menjadi saksi kejadian tersebut.

Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai pembantu restoran bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi membenarkan kedua-dua beranak itu masing-masing dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 3 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Robert S Gnanarajan.