KAMPUNG GAJAH: Dua beranak maut apabila kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori muatan ikan dari arah bertentangan di Jalan Tanjung Tualang – Kampung Gajah, di sini pada Sabtu.

Mangsa yang maut di tempat kejadian menaiki kereta jenis Perodua Viva dikenalpasti sebagai Law Ai Yeng, 37, dan anak lelakinya yang berusia 7 tahun, yang identitinya masih dalam siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tersebut yang dipandu bersama seorang kelendan datang dari arah Kampung Gajah menghala ke Tanjung Tualang.

Manakala kereta yang dipandu mangsa bersama anaknya datang dari arah bertentangan.

“Pada jam lebih kurang 3.35 petang, pihak kami terima maklumat kemalangan jalan raya melibatkan lori jenis Isuzu dan kereta jenis Perodua Viva.

“Siasatan mendapati apabila sampai di Jalan Tanjung Tualang – Kampung Gajah
(berdekatan Simpang Kota Pinang) lori dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar kereta tersebut.

“Akibat rempuhan itu, pemandu wanita itu parah di keseluruhan badan manakala anak lelakinya parah di kepala. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, ujarnya pemandu dan kelendan lori muatan ikan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Barudin berkata siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyan 41(1) APJ 1987 memandu dengan cuai dan melulu hingga menyebabkan kematian.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata anggota bomba mengeluarkan mangsa dengan mengalihkan lori tersebut
dengan bantuan sebuah kren, dua buah towing dan jentera jengkaut.

“Terdapat dua pada jam 6.30 petang” katanya.