KUANTAN 5 Feb. – Dua individu ditahan masing-masing pada Jumaat lalu dan hari ini kerana disyaki terlibat dengan sindiket penawaran serta penjualan gelaran darjah kebesaran negeri ini yang tidak wujud menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kedua-duanya ditahan di Kuala Lumpur iaitu seorang wanita berusia 39 tahun dan lelaki berusia 41 tahun.

“Kedua-dua mereka ditahan hasil siasatan yang dilakukan oleh anggota polis.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek merupakan orang tengah yang menjalankan kegiatan tersebut. Dalang utamanya yang menyamar sebagai kerabat diraja melarikan diri dan polis sedang mengesannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE