IPOH – Polis menumpaskan dua kumpulan samun bersenjata dan pecah rumah yang menyasarkan mangsa warga emas sekitar bandar raya ini sejak Januari lalu dengan tertangkapnya empat suspek baru-baru ini.

Keempat-empat suspek berusia dari 27 sehingga 56 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Taman Rishah, Menglembu dan Sungai Siput pada Sabtu lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, dua anggota kumpulan samun yang dikenali sebagai Geng Vinod itu ditangkap semalam di Taman Rishah pada jam 7.15 malam.

“Penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang ini ditangkap susulan kes pecah masuk ke sebuah rumah warga emas di Taman Rishah pada 1 April lalu.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barang termasuk dua bilah parang panjang, sebilah pisau, tiga buah motosikal dipercayai motosikal curi, tiga buah telefon bimbit dan sebuah beg galas berisi pelbagai jenis pinggan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang berusia 27 dan 28 tahun itu masing-masing mempunyai enam dan empat rekod jenayah lampau.

Selain itu, Mohd Ali turut memberitahu pihaknya juga menahan dua lagi lelaki berusia 42 dan 56 tahun pada 7 April lalu di Menglembu dan Sungai Siput.

“Kumpulan ini dipercayai telah melakukan samun bersenjata di sebuah rumah sepasang suami isteri warga emas di Sungai Rokam pada 5 April lalu membabitkan kerugian sebanyak RM20,000.

“Suspek berusia 42 tahun itu mempunyai 12 kes lampau yang mana kebanyakkannya melibatkan dadah manakala suspek berusia 56 tahun itu pula mempunyia tujuh kesalahan lampau,” katanya.

Tambahnya turut dirampas bersama kedua-dua suspek adalah barangan milik warga emas terbabit dan pihak polis kini sedang memburu seorang lagi anggota kumpulan berkenaan.

“Kita sedang jejak seorang lagi rakan mereka dan kita yakin akan dapat,” ujar beliau.