IPOH: Dua individu didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas tuduhan menipu seorang warga emas berusia 80 tahun mengenai nombor ramalan yang tidak wujud, bulan lepas.

Tertuduh Masdor S Amir, 42, dan Ibrahim Yeoh Abdullah, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua merek dengan curang telah memperdaya warga emas berkenaan untuk menyerahkan wang RM36,000 sebagai bayaran untuk mendapatkan kemenangan nombor ramalan yang tidak wujud.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Pasar Gunung Rapat Ipoh kira-kira jam 11.30 pagi, 27 Julai lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM4,500 setiap seorang dengan seorang penjamim.

Mahkamah juga menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Darinee manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Razman Sahat.