IPOH: Dua jiran yang bergaduh akhirnya bermaafan di luar mahkamah setelah selesai prosiding kes mereka di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Fong Kok Sing, 40, dan Chen Ching Wei, 43, bermaafan setelah mereka dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mencederakan antara satu sama lain, hujung bulan lalu.

Majistret Nabihah Mohd. Noor membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam bela, Ranjit Singh yang mewakili kedua-dua mereka untuk menyelesaikan kes mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.

Kedua-dua pihak sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Kok Sing dan Ching Wei secara sengaja mendatangkan kecederaan antara satu sama lain di Laluan Chemor Maju 16, Taman Chemor Idaman pada pukul 12 tengah hari, 30 September lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Ranjit memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut secara bersama mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah. – UTUSAN ONLINE