KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) sahkan dua kakitangannya positif COVID-19.

Menurut TM, kedua-dua kakitangan itu didapati positif di dua pejabat yang berbeza.

“Seorang daripada anggota berkenaan bertugas di Menara TM ONE di Damansara, Kuala Lumpur manakala seorang lagi di pejabat Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah.

“Kedua-dua orang anggota tersebut kini sedang menjalani kuarantin dan menerima rawatan di fasiliti kuarantin dan perubatan kerajaan,” kata TM dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad.

Dalam pada itu, TM telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengekang penyebaran virus dan memastikan keselamatan para pelanggan, anggota dan masyarakat.

“Di Menara TM ONE, semua penghuni telah diminta segera meninggalkan premis dan bangunan tersebut ditutup untuk tempoh tujuh hari bagi proses nyahkuman dan sanitasi, sepertimana garis panduan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pejabat-pejabat TM di Sabah, Kedah dan kawasan-kawasan Zon Merah yang lain telah ditutup lebih awal sebagai langkah proaktif berjagajaga berikutan peningkatan kes sejak akhir-akhir ini,” tambahnya lagi.

Susulan dua kes positif baharu itu, pengesanan kontak rapat secara terperinci sedang dilakukan oleh KKM, dengan dibantu oleh Pasukan Tindak Balas Krisis COVID-19 TM.

“Ia bagi mengenal pasti dan memaklumkan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan anggota terlibat.

“Selain itu, kontak rapat yang dikenalpasti dihubungi oleh KKM bagi nasihat dan tindakan selanjutnya,” jelas syarikat telekomunikasi itu lagi.

Dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada para pelanggan, para anggota TM di negeri-negeri dan kawasan-kawasan terbabit telah kembali bekerja dari rumah dengan memanfaatkan saluran-saluran digital dan alatan produktiviti dalam talian.

“Anggota-anggota dalam fungsi kritikal (pusat panggilan, pasukan lapangan untuk pemasangan dan baikpulih perkhidmatan) akan terus bertugas dengan mematuhi protokol dan garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan serta pihak TM sendiri.

“TM telah dan akan terus melaksanakan langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para pelanggan kami, para anggota dan komuniti setempat,” tambah TM lagi.