IPOH: Dua lagi daerah di Perak disenaraikan di dalam zon hijau COVID-19 susulan tiada sebarang kes baru dilaporkan sepanjang tempoh 14 hari lalu.

Pertambahan daerah Kuala Kangsar dan Muallim menjadikan tiga daerah di Perak tersenarai di zon hijau selepas Kampar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia berkat usaha gigih pelbagai pihak, termasuk rakyat yang sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini adalah berita baik untuk kita tetapi ia bukanlah bermaksud rakyat di tiga daerah ini boleh bebas keluar berjalan-jalan.

“Kita tidak mahu zon hijau ini bertukar menjadi zon merah atau pun zon oren. Kita mahu ia kekal zon hijau dan kita juga mahu zon hijau ini akan merebak pula ke daerah-daerah lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan untuk Tabung Bencana dan Bantuan Sosial serta barangan keperluan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 di pejabatnya di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, rakyat perlu terus bersabar dan kekal di rumah mematuhi PKP bagi memastikan rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan terus.

“Insha Allah seluruh negeri Perak akan bebas daripada COVID-19, seluruh Malaysia akan bebas, seluruh dunia akan bebas dan kita akan kembali hidup seperti biasa selepas ini,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau menerima sumbangan RM100,000 di samping 500 unit peralatan perlindungan diri (PPE), 15,000 topeng muka dan 500 botol cecair pembasmi kuman daripada beberapa penyumbang.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan
Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulazlan Abu Hassan dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming.