IPOH: Dua lelaki dijatuhi hukuman denda RM20,000 seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menipu seorang lelaki untuk mendapatkan projek pembekalan dan penyediaan makanan serta minuman bernilai RM360,000 pada tahun 2012.

Hakim S. Indera Nehru turut menetapkan tertuduh, Mohd. Fauzi Husin, 39, dan Bakri Jeman, 53, menjalani hukuman penjara selama lima bulan sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menipu Adenan Bakar, 55, untuk membantu Koperasi Peniaga-Peniaga Pasar Malam Manjung (Ko-Persalam) mendapatkan projek pembekalan dan penyediaan makanan dan minuman pada 28 Januari 2012 bernilai RM360,000.

Sehubungan dengan itu, Mohd. Fauzi dan Bakri didakwa telah cuba mendorong Adenan untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM45,000 kepada mereka pada 19 Januari 2012.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.10 petang di Pejabat Ko-Persalam, Pusat Perniagaan Manjung Point, Seri Manjung pada 19 Januari, lima tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 43 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin dan R. Kumuthambal manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Kathan.