BOTA: Dua lelaki maut, tiga parah dan seorang lagi cedera dalam nahas yang melibatkan lima buah motosikal di KM40 Jalan Lumut- Ipoh, di sini, awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Aidil Hakimie Abd Latid,19, meninggal dunia di tempat kejadian dan Syed Muhammad Badrul Amin Syed Mohd Nasir, 23, meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang (HCM).

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, seorang anggota tentera, Muhamad Saufi Abd Latid, 22, mengalami pendarahan di kepala dan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Dua penunggang lain, Muhammad Aiman Rusli, 20, patah tangan kanan dan Abu Kassim Mohd Saad, 25, patah kaki kanan manakala Mohamad Idham Mohd Mokhtar, 21, hanya cedera ringan.

“Kesemua mereka dirawat di Hospital Changkat Melintang,” katanya di sini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kelima-lima motosikal itu datang dari arah Durian Kudung menghala ke Bota.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila dua motosikal telah bergesel menyebabkan mangsa dan kenderaan jatuh di atas jalan.

Tiga motosikal di belakang pula tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal yang terjatuh mengakibatkan kesemua motosikal terseret di pelbagai arah.

“Tiada saksi bebas yang nampak bagaimana dan punca kemalangan ini berlaku,” ujarny.

Mohamad Zainal berkata, akibat kemalangan itu, Aidil Hakimie yang membonceng bersama abangnya maut ditempat kejadian manakala, Syed Muhammad Badrul Amin meninggal dunia ketika menerima rawatan di HCM.

Bedah siasatan mayat mangsa dijalankan pagi ini.

“Setakat siasatan pagi ini, kesemua mangsa tidak merempit kerana tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.