KOTA KINABALU: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki empat potong tapak kaki dan pundi hempedu beruang madu di sini, hari ini.

Tertuduh, Jupilin Mojungkat, 43, dan Morin Masain, 30, didakwa melakukan kesalahan itu di Food Court Asia City, di sini, pada 20 Ogos 2016.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki empat potong tapak kaki dan satu pundi hempedu beruang madu iaitu haiwan daripada spesies haiwan dilindungi dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 di lokasi terbabit pada jam 11.45 pagi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(4) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41(4) Enakmen yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Abdul Karim Dakog, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin tempatan, selain menetapkan 26 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes – berita harian