TAIPING – Tiga lelaki termasuk dua remaja ditemui lemas selepas bot dinaiki dipercayai karam dalam kejadian di perairan Kuala Sepetang, Taiping, hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, seorang wanita membuat laporan polis hari ini mengatakan suaminya Beh Liang Tik, 49, bersama anak lelakinya Beh Chun Hui,16, dan rakan anaknya Low Eng Chuan,19, tidak pulang selepas keluar ke laut menangkap ikan sejak Selasa lalu.

“Tiga mangsa itu keluar ke laut kira-kira 10 pagi Selasa lalu untuk menangkap ikan di kawasan perairan Kuala Sangga, dekat sini dengan menaiki bot gentian dan tidak pulang sehingga sekarang dipercayai hilang.

“Susulan itu operasi mencari dan menyelamat dijalankan melibatkan Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, polis Kuala Sepetang, dua bot nelayan awam serta agensi lain termasuk bomba,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.Nelayan tersebut bersama anaknya dijumpai kira-kira 8 pagi tadi manakala mangsa ketiga telah dijumpai tidak jauh dari Jeti Kuala Sepetang, tambah beliau.

Beliau berkata ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya dimaklumkan polis terdapat kes tiga lelaki dipercayai lemas di kawasan berkenaan pada pukul 8.25 pagi.

“Maklumat daripada orang awam memaklumkan terdapat tiga mangsa dipercayai lemas dan operasi pencarian awal dilakukan penduduk kampung sebelum dua mangsa berusia 49 tahun dan remaja 16 tahun ditemui lemas oleh nelayan kira-kira 8 pagi tadi, manakala seorang lagi remaja dijumpai pada pukul 11.54 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.