RAUB: Seorang pemandu lori rentung apabila kenderaan dipandunya itu terbakar selepas bertembung dengan sebuah lagi lori di Kilometer 323 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi, Mohd Mazli Salleh, 45, dari Rumah Pangsa Sri Ros, Bukit Sentosa, Selangor ditemui rentung dan tersepit dalam lori dipandunya yang membawa bahan bacaan seperti majalah dan buku.
Pemandu sebuah lagi lori, Mohd Zahid Zakaria, 34, dari Kuala Krai, Kelantan patah kedua-dua belah peha, manakala kelindannya, Mohd Aman Rafli,18, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kemalangan berlaku apabila tayar lori dipandu Mohd Mazli yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru pecah dan terbabas ke laluan bertentangan.
ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub berusaha memadam kebakaran pada dua lari yang bertembung dalam kemalangan di Kilometer 323 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu.. – Foto ihsan Bomba Pahang
“Ia kemudiannya bertembung dengan lori dipandu Mohd Zahid, kedua-dua lori kemudiannya terbakar, mangsa yang meninggal dunia didapati tersepit dalam lori dan rentung,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat Mohd Mazli dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat, manakala Mohd Zahid dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk diberikan rawatan.

“Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub dikejarkan ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat kejadian.

“Anggota kami bertindak memadamkan kebakaran bagi mengelakkan kejadian lebih buruk dan berjaya mengawal tidak lama selepas itu,” katanya – berita harian