IPOH – Dua individu maut selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 290.5 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.51 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Tiba di tempat kejadian, anggota mendapati terdapat sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbalik di atas jalan dan kedua-dua lelaki yang berada di dalamnya dalam keadaan selamat.

“Kemalangan turut melibatkan kereta jenis Perodua Bezza yang merempuh penghadang jalan. Seorang lelaki dan seorang wanita yang berada di dalamnya disahkan maut oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Tambahnya, seorang lagi lelaki di dalam Perodua Bezza hanya mengalami cedera manakala pemandu treler pengangkut kereta tidak mengalami kecederaan. – K! ONLINE