BERUAS: Dua maut manakala dua lagi cedera apabila kereta yang mereka naiki dipercayai terbabas lalu terlanggar pokok di Batu 19, Kampung Jering, Air Tawar dekat sini, pada pagi Ahad.

Identiti semua mangsa bagaimanapun masih belum diketahui setakat ini.

Menurut laporan Balai Bomba dan Penyelamat Air Tawar, pihaknya menerima pangilan mengenai kemalangan itu, kira-kita pukul 6.30 pagi.

Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba mendapati berlaku kemalangan yang melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord melanggar sebatang pokok.

“Dua mangsa, seorang lelaki dan seorang perempuan berbangsa Cina telah tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan dua lagi mangsa lelaki dan perempuan Cina telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital,” kata laporan itu.

Anggota bomba telah menggunakan peralatan penyelamat Hydraulic Rescue Cutter untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Suhaimi Nijar tamat pukul 7.56 pagi.