MANJUNG: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan treler di Jalan Teluk Intan-Sitiawan berhampiran Kampung Kayan di Sitiawan pada Selasa.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Zaibidi Muhi, 40, dan Mohd Raimi Rustam, 34, menaiki Proton Wira dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.32 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Ujarnya kereta mangsa dari arah Sitiawan menghala ke Teluk Intan manakala treler dari arah bertentangan.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler menyebabkan seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu manakala seorang lagi mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.

“Bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada 8.18 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Laporan lanjut mengenai kemalangan itu akan menyusul.