SUNGAI SIPUT: Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan dua buah pacuan empat roda di Kilometer 25, Jalan Ipoh – Kuala Kangsar, di sini, tengah malam pada pagi Rabu.

Seorang mangsa, Mohd Shahrul Mahzan Mohd Khalid, 33, disahkan maut di tempat kejadian manakala Mansur Hassan, 42, meninggal dunia di Hospital Sungai Siput, pada sebelah pagi Rabu.

Kedua-dua mangsa merupakan penumpang dan pemandu dalam kereta jenis Isuzu D-Max manakala pemandu kereta jenis Toyota Hilux cedera parah kerana tersepit.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozemi Ismail mengesahkan laporan kejadian ketika dihubungi Suara Perak pada petang Raby.

Menurutnya, siasatan mendapati Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 26 tahun yang datang dari arah Ipoh memecut laju dan dipercayai memasuki laluan bertentangan.

“Sebuah kereta pacuan empat roda lain yang datang dari arah Sungai Siput tidak sempat mengelak Toyota Hilux itu dan menyebabkan kedua-duanya bertembung.

“Pertembungan kuat itu menyebabkan pemandu Toyota Hilux dan penumpang Isuzu D-Max tersepit. Mohd Shahrul Mahzan disahkan maut manakala pemandu Toyota Hilux cedera parah.

“Mansur yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 7.30 pagi tadi (semalam),” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) kerana memandu kenderaan secara melulu sehingga mengakibatkan kematian.

Dalam pada itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohd Fauzi Hashim berkata anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kes tersebut pada jam 1.10 pagi.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati terdapat  lelaki tersepit di dalam Toyota Hilux manakala seorang lelaki terbaring di atas jalan dipercayai tercampak dari kereta dipandunya.

“Pemandu Toyota Hilux tersepit dan mengalami kecederaan parah manakala penumpang dalam kereta Isuzu D-Max yang juga tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu sebuah lagi kereta tercampak keluar dari kenderaannya dan mengalami kecederaan. Anggota bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan alatan khas.

“Mangsa parah dihantar ke hospital manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 2.07 pagi,” katanya.