BATU GAJAH – Dua lelaki orang asli maut selepas motosikal mereka merempuh seekor kerbau di Jalan Kampung Bali – Tronoh di sini hari ini.

Dalam nahas sekitar jam 2.55 pagi itu, penunggang motosikal, Amir Bah Lasoh, 25, dan pemboncengnya, Asfelix Azi,15, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Yamaha LC135 dalam perjalanan dari Tanjung Tualang menuju ke Simpang Pulai.

“Ketika sampai di tempat kejadian, seekor kerbau telah melintas menyebabkan penunggang tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat lalu melanggar haiwan tersebut.

“Dalam kemalangan ini, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kerbau tersebut turut ditemukan mati berhampiran.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.