PULAU PANGKOR : Pemandu dan kalendan lori terselamat apabila lori yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung di Teluk Nipah di sini, hari ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.15 tengahari.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan membawa muatan batu bata terbabas masuk gaung dengan kedalaman kira-kira 10 meter (30 kaki).

“Terdapat dua orang mangsa iaitu seorang lelaki Melayu dan seorang lelaki India hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba.

Bagaimanapun, katanya, anggota bomba membuat pemantauan di tempat kejadian untuk memastikan tiadaagi mangsa yang terlibat.

Kedua-dua mangsa telah dihantar ke klinik kesihatan berhampiran oleh orang awam.