Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Dua pegawai bomba yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di sebuah kilang silo di Tasek baru-baru ini terpaksa menahan kesakitan akibat cedera melecur dalam insiden itu.

Kedua-dua mangsa, Penguasa Bomba Shazlan Mohd Hanafiah,32 dan Penguasa Bomba Mohd Azri Aziz,29 turut dilaporkan kritikal pada mulanya berikutan cedera di bahagian muka, kepala dan tangan.

Dalam kejadian pada pagi Sabtu itu,kedua-dua mereka difahamkan sedang membuat pemadaman di bawah silo sebuah kilang di IGB Tasek.

“Ketika operasi tersebut berjalan, tiba-tiba habuk kayu dari silo jatuh mendadak dalam jumlah yang banyak dan api menyambar ke arah anggota menyebabkan mereka jatuh dan cedera.

“Anggota kecemasan EMRS terus memberikan rawatan awal kepada anggota yang cedera dengan menggunakan Burn Shield Blanket sebelum digegaskan ke hospital,”katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Bagaimanapun, kedua-dua kini dilaporkan beransur stabil dan Mohd Azri telah dibenarkan keluar manakala Shazlan pula masih mendapatkan rawatan di wad biasa, Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Pengarah Bomba Negeri Perak, Datuk Yahya Madis ketika dihubungi berkata beliau yakin semangat kedua anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh itu tidak akan luntur begitu sahaja.

“Niat mereka, komitmen mereka┬ámasih tinggi untuk memberikan perkhidmatan.

“Kami juga mendapat tahu bahawa letupan habuk atau dust explosion ini merupakan yang pertama kali berlaku di Perak, dan pihak Bomba akan memperkemaskan strategi untuk menghadapi situasi seperti ini,”katanya kepada Astro Awani.

Turut hadir, Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohamad Mentek.