IPOH – Dua pekerja warga Myanmar maut selepas terjatuh ketika membuka perancah yang dipasang di bahagian dalam ruang kalsiner sebuah kilang simen di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada jam 12.10 tengah hari membabitkan pekerja kontraktor perancah berusia 32 dan 26 tahun.

Menurutnya, susulan kejadian itu, JKKP Perak telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap kemalangan itu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang bekerja di tingkat enam di kawasan tanur 3. Ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang membuka perancah yang dipasang di bahagian dalam ruang kalsiner, tanur 3.

“Semasa mangsa sedang memotong dawai pengikat pelantar pada perancah, struktur pelantar perancah menjadi tidak stabil dan condong ke arah mangsa sehingga menyebabkan kedua-duanya terjatuh pada ketinggian kira-kira 38 meter,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pegawai JKKP menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian yang meragut dua nyawa ketika sedang memasang perancah dalam ruang kalsiner sebuah kilang simen di sini hari ini.

Zamzurin berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Katanya, berikutan itu, JKKP mengeluarkan arahan henti kerja untuk aktiviti di bahagian dalam ruang tersebut dan semua aktiviti berkaitan perancah di dalam kilang simen berkenaan sehingga siasatan lengkap dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya juga mengarahkan pemilik premis dan kontraktor perancah melakukan penambahbaikan di kawasan berkenaan.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Majikan bertanggungjawab mengenal pasti bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya.

Jelas Zamzurin, perkara itu penting bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

Menurutnya lagi, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah di dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko.

Dalam pada itu, beliau berkata, JKKP Perak akan mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.