Melaka: Dua tahanan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Tiang Dua, di sini, melarikan diri, pagi semalam.

Bagaimanapun, seorang daripadanya berjaya ditahan tidak sampai 24 jam selepas melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu yang dibuat pengawal keselamatan PUSPEN pada jam 12.05 tengah hari semalam.

Berkata, berdasarkan laporan, kedua-dua suspek melarikan diri daripada tahanan pada jam 1.25 pagi dan disedari pengadu yang bertugas di menara kawalan.

“Pengadu memaklumkan terdengar penghuni Asrama Aman Satu menjerit memberitahu ada penghuni melarikan diri.

“Kedua-dua suspek, Noraffendi Ayop, 46, dan Mohamad Azam Ali, 25, baru dua minggu tinggal di asrama terbabit dan mereka didapati melarikan diri melalui tingkap tandas, sebelum memanjat tiang lampu dan melompat ke pokok di luar kawasan PUSPEN,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Afzanizar berkata, Noraffendi melarikan diri dengan memakai baju Melayu berwarna putih dan seluar panjang hitam, manakala Mohamad Azam pula memakai baju-T PUSPEN berwarna jingga, berkain pelikat dan seluar trek biru.

“Bagaimanapun, suspek pertama berjaya ditahan semula oleh pengawal keselamatan yang membuat pencarian di padang bola awam di Bukit Bulat, Alor Gajah, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari pusat tahanan berkenaan, kira-kira jam 3 petang.

“Tahanan kedua sedang giat diburu oleh pihak keselamatan PUSPEN,” katanya – berita harian