Oleh: Mohd Shafiq Noordin

IPOH: Exco Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Zulaiha Sidiq mengumumkan peletakan jawatan dalam parti itu dengan serta merta kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat.

Beliau memberitahu, dia sudah “muak” dan hilang minat dengan kemelut yang berlaku dalam parti itu ketika ini.

“Tidak sepatutnya berlaku keretakan, perpecahan dan berpuak-puak dalam PPBM kerana ianya tidak mencerminkan moto parti.

“Akibat daripada hilang keyakinan, kepercayaan dan minat dengan segala pergolakan yang berlaku – saya EXCO Srikandi Pusat dan Ketua Srikandi Penaja PPBM Batu Gajah melepaskan kedua-dua jawatan saya,” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Selasa.

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Srikandi Penaja Gopeng, Aflatuniah Md Norani yang juga mengumum melepaskan jawatan yang disandangnya.

Zulaiha seterusnya turut menggesa pucuk pimpinan parti di peringkat pusat dan negeri supaya memberi perhatian serius kepada suara akar umbi.

“Tindakan efisien dan dinamik perlu diambil terhadap setiap permasalahan yang timbul sebelum ia menjadi bisul dan merebak, malah kini telah membusuk.

“Kita perlu fokus kepada wadah perjuangan. Bukan cantas-mencantas untuk kedudukan yang bersifat sementara di dalam parti dan berpuak-puak sesama sendiri,” katanya.

Zulaiha menegaskan, tindakannya itu adalah sebagai menyatakan prinsipnya yang tidak gilakan jawatan namun lebih mementingkan kebersatuan serta kestabilan partinya itu.

“Ianya juga satu simbolik kepada orang yang gila kuasa di dalam parti; bagi kami jawatan itu tidak penting,” ujar beliau.