IPOH – Dua penari berbakat yang terpilih pada uji bakat program Pertukaran Pelajar Tarian UK di Home Of Silveryouth (HOS), 27 Oktober ini bakal menerima RM30,000 daripada Kerajaan Perak.

Exco Kerajaan Perak Howard Lee Chuan How berkata, sumbangan itu bagi mengikuti program yang dianjurkan bersama The Dance Company di Scotland bertujuan membangunkan belia tempatan dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang seni tarian.

“Sumbangan sebanyak RM30,000 ini antara inisiatif kerajaan negeri dalam usaha menyokong pembentukan ekonomi kemanusiaan. Tidak dinafikan, masyarakat kini sudah memasuki era industri seni kreatif yang bukan sahaja menjana nilai komersialnya tersendiri tetapi mampu dijadikan satu industri penjanaan ekonomi negara.

“Oleh itu, sumbangan atas program pembangunan industri ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan negeri dalam memupuk minat belia tempatan dalam mengejar matlamat kerjaya dalam bidang seni,” katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama, Duta Ballet West UK, Shannon Lee dan Presiden Dance Artistry International (DAI) Audrey Kwan.

Menurutnya, program itu sekali gus membuktikan perkembangan industri kebudayaan dan kreativiti semakin diberikan tumpuan di peringkat antarabangsa dalam usaha mementingkan kelestarian alam selain mampu mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan

Difahamkan, rakyat di negeri ini yang berusia 13 hingga 24 tahun dan memiliki minat yang mendalam dalam seni tarian dipelawa menyertai uji bakat berkenaan yang akan dijalankan selama sehari di HOS pada 27 Oktober ini.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian 053119127 atau melayari masterclass@dainternational.co.uk untuk info lanjut.

Sementara itu, Howard berkata, kerajaan negeri berharap ada pihak korporat dapat bekerjasama dan memberikan sokongan serta sumbangan kepada industri seni di negeri ini.

“Kita menjemput mana-mana pihak, sama ada individu atau persatuan untuk menggunakan HOS sebagai tapak projek bagi program-program kesenian.

“Mereka boleh menghantarkan kertas kerja bagi penggunaan HOS dan sekali gus ia dapat membantu memeriahkan lagi industri seni tempatan,” katanya – sinar