NILAI: Dua penguat kuasa Majlis Perbandaran Nilai (MPN) cedera pada bibir, tangan dan kaki selepas bergelut dengan penjaja yang menghalang barangan perniagaan mereka disita di Jalan BBN 1/3d, Bandar Baru Nilai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, lima penguat kuasa MPN dan seorang pemandu sedang menjalankan operasi sitaan terhadap peniaga yang ingkar selepas notis dikeluarkan pada 28 Jun lalu kerana mengganggu laluan orang awam.

Namun, ketika sitaan dijalankan, seorang lelaki yang mendakwa pemilik gerai terbabit menghalang mereka sambil menghamburkan kata-kata kesat.

Sumber penguat kuasa MPN berkata, ia menyebabkan tercetus pergelutan dan tolak-menolak di antara anggota penguat kuasa dan lelaki berkenaan.

 

“Seorang anggota terjatuh ketika memasukkan barangan sitaan di atas lori selepas ditarik lelaki berkenaan menyebabkan dia luka pada bibir, tangan dan kaki.

“Lelaki terbabit kemudian sempat mencampakkan tong sampah ke arah anggota dan terkena pada tangan seorang anggota sebelum dia melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber itu berkata, pihaknya mengambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Penjaja MPN dan Seksyen 46(1)(d) kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan meletakkan barangan perniagaan di tempat awam termasuk menghalang pili bomba.

“Akibat kejadian ini, kami membuat laporan polis di Balai Polis Nilai, pada jam 6.30 petang selepas mendapatkan rawatan di klinik berdekatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan untuk menahan suspek berusia 20-an.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam – berita harian