Oleh:Nazialita Geynna Maharan

LARUT: Sebanyak dua pusat pemindahan telah dibuka untuk menempatkan seramai 77 mangsa banjir di sekitar daerah berikutan banjir kilat yang berlaku pada petang Jumaat.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kecil Selama, Leftenan (PA) Azman Amat berkata kedua-dua pusat pemindahan tersebut melibatkan dua kawasan sekitar Selama dan Batu Kurau.

Katanya, seramai 11 orang ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Pantai Besar Ijok,Selama manakala seramai 66 pula dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Pantai Besar Batu Kurau berikutan banjir tersebut.

“Seramai tiga keluarga melibatkan seorang warga emas perempuan di sekitar Kg Pantai Besar,Ijok terjejas di sekitar Selama berikutan hujan lebat sejak pagi Khamis.

“Manakala bagi di Batu Kurau, mangsa terjejas di Kg Pantai Besar pula membabitkan seramai 66 orang termasuk seorang bayi lelaki dan keseluruhannya adalah 23 keluarga,”katanya kepada pemberita dalam laporan JPBD di sini pada lewat malam Jumaat.

Jelasnya,kedua-dua pusat tersebut dibuka sekitar 7.25 malam berikutan paras air yang meningkat secara berterusan di kawasan perumahan tersebut.

“Seramai 51 anggota penguatkuasaan melibatkan agensi APM, PDRM,JKKK,JKM dan warga KKM membantu dalam.proses pemindahan dan buat masa ini pemantauan akan dilaksanakan sehingga paras air selamat,”katanya lagi.