KUALA KANGSAR: Tiga sekeluarga melecur dalam kebakaran dua buah rumah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Sun Wah, Jalan Dato Sagor di sini, awal pagi ini.

Mangsa, nenek berusia 72 tahun bersama anak lelakinya berusia 52 tahun dan seorang cucu lelakinya berusia 6 tahun melecur antara 2.5 peratus hingga 9 peratus .

Seorang lagi cucu lelakinya yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan ringan dan kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 2.53 pagi.

“Kebakaran melibatkan dua buah rumah kelas B, rumah pertama musnah 90 peratus dan sebuah kereta Proton Saga musnah 70 peratus, manakala rumah kedua musnah 20 peratus melibatkan bumbung dan syiling,” katanya di sini.

Penghuni rumah kedua yang merupakan seorang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar serta isterinya terselamat.

Menurut jurucakap itu, operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos dua pamcutan air dari tangki air jentera bomba sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Taufiq Abd Satar tamat kira-kira jam 4 pagi.