KLANG – Dua sahabat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap rakan sekerjanya, Oktober lalu.

Wan Mohd. Haziq Wan Harun, 22, dan Muhammad Aiman Haris Mohamad Safari, 20, yang merupakan pekerja sebuah pasar raya di daerah ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Wan Mohd. Haziq merogol wanita berusia 22 tahun tanpa kerelaannya dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Muhammad Aiman pula dituduh melakukan persetubuhan luar tabii kepada mangsa yang sama seterusnya didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang turut membawa hukuman sama.

Perbuatan kedua-dua tertuduh itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kenangan Meru antara pukul 8 hingga 10 malam pada 2 Oktober lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar menawarkan jaminan RM20,000 dan seorang penjamin bersama dua syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Peguam T. Mishant yang mewakili Wan Mohd. Haziq dan Muhammad Aiman diwakili Peguam Ethan W. H. Tan memohon wang jaminan dikurangkan berikutan merupakan penanggung tunggal kepada keluarga selain hanya berpendapatan sekitar RM1,200.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin selain membenarkan kedua-dua syarat tambahan tersebut termasuk melaporkan diri di balai polis Meru, di sini.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 7 Januari 2021.

Kosmo! sebelum ini melaporkan tiga lelaki ditahan selepas disyaki merogol seorang wanita yang merupakan pekerja pasar raya di daerah ini.

Kesemua mereka termasuk bekas teman lelaki wanita tersebut ditangkap pukul 2 pagi menerusi dua serbuan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. – K! ONLINE