IPOH: Dua Stesen Kuarantin dibuka di Perak bagi membendung penularan wabak COVID-19 iaitu Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan dan Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di Sungkai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebanyak RM651,000 diperuntukkan bagi pembelian pelbagai kelengkapan dan peralatan serta makan minum di kedua-dua Stesen Kuarantin tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri komited membantu Jabatan Kesihatan Perak dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran virus COVID-19.

“Oleh itu, kerajaan negeri telah membuka dua stesen kuarantin
yang mampu menampung sehingga 240 individu,” katanya dalam Perutusan Khas diumumkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Ahmad Faizal berkata, walaupun bersyukur kerana Perak kekal sebagai negeri paling patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan peratusan melebihi 93 peratus, tetapi semua pihak perlu berasa bimbang kerana jumlah jangkitan wabak COVID-19 di negeri ini telah mencatatkan jumlah sebanyak 176 kes, setakat semalam, dengan 3 kematian.
“Malah, daerah Kinta dan daerah Hilir Perak telah berada dalam Zon Merah apabila mencatatkan jumlah kes jangkitan sebanyak 74 kes dan 53 kes masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri dan seluruh rakyat amat mengalu-alukan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

Menurutnya, di Perak, Bantuan PRIHATIN ini akan memberi manfaat kepada majoriti rakyat, termasuklah hampir 6,000 peserta Felda; lebih 46,000 orang petani termasuk lebih 18,000 pesawah, hampir 7,500 nelayan pantai dan darat serta lebih 35,000 penjaja dan peniaga kecil.

“Pakej ini juga akan memberi manfaat kepada para penjawat awam, pekerja swasta dan rakyat yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah, iaitu mereka yang berpendapatan RM8,000 dan ke bawah,” katanya.